cara hidup

Rahsia Hidup Bahagia cara Jepun

Saturday, August 08, 2020

Ikigai (生き甲斐)

Anda sering merasakan kehidupan anda tertekan dan tidak bermakna?Anda kecewa dengan diri anda dan masih tidak tahu hala tuju hidup anda? Anda mungkin belum lagi menemui Ikigai anda. Anda tahu apa itu Ikigai?

Ikigai merupakan falsafah hidup atau konsep yang diamalkan oleh kebanyakan masyarakat Jepun untuk kehidupan yang lebih makmur dan juga antara lain, rahsia mereka panjang umur. Ikigai ialah mencari nilai dalam kehidupan untuk mencapai kehidupan yang lebih bahagia dan seimbang. Konsep Ikigai inilah yang akan membuat kita mempunyai sebab untuk bangun diwaktu pagi dan merasakan kewujudan dan penghidupan kita didunia ini mempunyai tujuan.



Fuji San (Gunung Fuji)

Jadi bagaimanakah untuk kita mencari sebab atau alasan untuk kita bangun pagi? Kita perlu menghadirkan Ikigai dalam diri kita. Bagaimana caranya?

  1. Mengetahui minat dan kecenderungan kita. Contohnya seperti berniaga atau membuat kek atau kraftangan atau sebagainya. 
  2. Mengenal pasti perkara yang kita mahir dan kompeten seperti kita mahir dalam menulis, mereka bentuk laman sesawang atau sebagainya. 
  3. Perkara tersebut boleh menjanakan wang kepada kita dan kita mendapat upah daripadanya. 
  4. Kita perlu tahu apa yang dunia sekarang perlukan. 



Kesemua empat kualiti tersebut digabungkan maka kita akan menemui Ikigai kita.

Sebagai contoh mudah, seseorang yang minat berniaga dan membaca buku, beliau pula mahir dalam menulis dan petah berkata-kata untuk melariskan jualan buku tersebut. Hasilnya, beliau dapat menjana wang dengan hasil jualan buku. Buku yang dijual pula adalah buku yang bermanfaat yang sememangnya diperlukan oleh penduduk dunia yang sangat ‘tenat’ sekarang ini. Maka atas sebab ini dirinya akan rasa lebih puas dan tenang kerana dapat melakukan perkara ini. Inilah juga sebabnya beliau bersemangat untuk bangun pada setiap pagi!

Ikigai sebenarnya mempunyai konsep yang lebih mendalam, namun secara asasnya kita perlu menemui empat kualiti tersebut dalam diri kita untuk mengetahui Ikigai kita. Adakah anda telah mengetahui Ikigai anda? ­­

Popular Posts